GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kes positif Covid-19 di negeri ini kembali mencatatkan empat angka semalam, dengan 1,105 kes selain lima kluster baharu turut direkodkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu, 1,093 kes membabitkan kategori 1 dan 2 manakala 10 kes kategori 3 dan satu kes kategori 4.

Lima kluster itu pula membabitkan Kluster Jalan Perempuan Zainab II, Kluster Padang Tembak Kemumin, Kluster Jalan Nara Pasir Puteh, Kluster Cabang Jeram Pasu dan Kluster Persiaran Padang Golf 2.

"Kluster Jalan Perempuan Zainab II membabitkan sebuah rumah kebajikan yang merekodkan tujuh kes hasil daripada 12 saringan individu.

"Kluster Padang Tembak Kemumin pula merekodkan sembilan kes daripada 25 kontak rapat di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)," katanya dihubungi hari ini.

Menurut beliau, Kluster Jalan Nara Pasir Puteh, Kluster Cabang Jeram Pasu dan Kluster Persiaran Padang Golf 2 masing-masing merekodkan 16 kes, 13 kes serta 12 kes membabitkan sekolah agama, sekolah menengah sains serta IPTA.

Dr Zaini berkata, peningkatan kes ini mungkin disebabkan cuti umum minggu lalu yang menyebabkan ramai penduduk keluar untuk bercuti atau membawa anak-anak ke tempat awam.

Beliau berkata, selain itu, penduduk yang pulang ke kampung untuk bercuti bersama keluarga dan kenduri juga menjadi faktor kes bertambah.

"Masyarakat dinasihati supaya terus patuh dan tidak lalai dengan saranan diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jika semua memberi kerjasama dan menjaga diri, terutama ketika berada di tempat awam, kes Covid-19 di negeri ini akan kembali turun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 4:13 PM