GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 lagi kluster baharu Covid-19, hari ini.

Menerusi hantaran terbaru di Facebook KKM, kluster berkenaan merangkumi empat membabitkan pendidikan, komuniti (tiga), tempat kerja (tiga) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Menurut KKM, kluster membabitkan pendidikan adalah Kluster Jalan Sejati membabitkan daerah Gombak dan Sepang di Selangor yang merekodkan 42 kes setakat ini.

Katanya, Kluster Persiaran Setia Murni membabitkan daerah Petaling Jaya, Kuala Selangor dan Klang di Selangor dengan 14 kes direkodkan.

"Bagi Kluster Jalan Puchong membabitkan daerah Sepang dan Petaling di Selangor pula merekodkan 21 kes baharu.

"Kluster pendidikan juga direkodkan di Pulau Pinang membabitkan Kluster Cangkat Minden di daerah Timur Laut membabitkan 14 kes baharu," katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kluster membabitkan komuniti adalah Kluster Akar Peluru di Kota Setar, Pendang dan Yan di Kedah manakala Kluster Bandar Baru Sentul di Kepong dan Kluset Sungai Tuah di Kanowit, Sarawak.

Tambahnya, kluster tempat kerja pula membabitkan Kluster Teknologi Ayer Keroh di Melaka, Kluster Jalan Kempas Muar di Johor dan Kluster Jalan Padang Tembak di Kelantan.

"Semua kluster ini merekodkan pertambahan kes baharu hari ini," katanya.

Selain itu, KKM memberitahu, kluster kumpulan berisko tinggi pula membabitkan Kluster Jalan Bukit Emas di Seremban, Negeri Sembilan.

Katanya, dua kluster ditamatkan hari ini menjadikan keseluruhan kluster tamat sebanyak 1,247 kluster.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:08 PM