DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 11 lagi kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Johor dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Seng membabitkan Titiwangsa di Kuala Lumpur yang dikesan menerusi saringan bersasar.

"Sehingga hari ini, 406 individu disaring yang mana 232 kes dikesan positif. Kluster kedua pula ialah Kluster Pagar Siput membabitkan Kota Tinggi, Johor.

"Kluster ini dikesan menerusi kes indeks, sehingga hari ini 200 disaring dan 129 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster ketiga ialah Kluster Plastik Subang membabitkan Petaling dan Klang di Selangor yang dikesan menerusi saringan bersasar di kilang.

"Keempat, Kluster Halban membabitkan Kota Bharu, Kelantan yang dikesan menerusi kes indeks. Setakat hari ini, 99 disaring dengan 29 daripadanya positif Covid-19," katanya pada kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kelima iaitu Kluster Lis Putih membabitkan Barat Daya di Pulau Pinang yang mana setakat ini, 128 disaring dan 24 positif.

Kluster keenam iaitu Kluster Sentosa Residensi membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang.

"KKM juga mengesan satu lagi kluster di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat iaitu Kluster Seragam Chepa. Setakat ini, 430 disaring dengan 13 positif," katanya.

Kluster kelapan iaitu Kluster Pagar Bentong membabitkan Bentong, Pahang dikesan menerusi saringan tahanan. Setakat ini, 79 individu disaring dan 13 daripadanya positif.

"Kluster kesembilan membabitkan Petaling dan Klang, Selangor iaitu Kluster Jalan Asam menerusi saringan bersasar di kilang. Setakat ini, 713 disaring dan 13 didapati positif.

"Kluster ke sepuluh ialah Kluster Sungai Redan membabitkan Kota Tinggi dan Kluang, Johor. Seramai 93 individu disaring dan 11 positif Covid-19," katanya.

Kluster terakhir membabitkan Kuantan, Pahang dan dikesan menerusi kes indeks pada 17 Disember lalu.

Sehingga hari ini, 47 individu disaring yang mana 11 positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 7:37 PM