Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Lima destinasi pelancongan popular di daerah ini ditutup sepenuhnya bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Ia membabitkan Jeram Mengaji Agro Resort, Pantai Bisikan Bayu, Dalam Rhu, Jeram Pasu dan Pantai Tok Bali.

Timbalan Ketua Jajahan Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, kesemua lokasi itu diletakkan notis pemberitahuan dan pelanggaran arahan boleh dikompaun RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Menurutnya, beberapa pusat rekreasi di bawah Majlis Daerah Pasir Puteh seperti Padang Awam Pasir Puteh, Padang Awam Selinsing, Taman Mahkota, Taman Tepi Sungai dan Taman Bonsai turut ditutup.

"Tindakan itu dibuat bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat awam sekali gus mengurangkan risiko penyebaran wabak kerana Pasir Puteh dikenali sebagai lokasi air terjun, pantai dan jeram.

"Kawasan ini menjadi tumpuan ramai khususnya yang pulang ke negeri ini, dan peningkatan kes di Kelantan banyak membabitkan jangkitan yang dibawa pihak luar sehingga menyebabkan 11 kluster.

"Sebagai langkah pencegahan, kita ketatkan kawalan di kawasan tumpuan awam khususnya destinasi pelancongan," katanya ketika ditemui dalam operasi pemantauan pasukan khas Covid-19 di sekitar Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Hishamuddin Ab Rashid dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmy Mustofar.

Menurutnya, langkah ketat itu diambil bagi melindungi hampir 100,000 penduduk daerah ini yang pernah mempunyai klauster Huma.

Katanya, pihaknya juga melakukan pemantauan di kawasan awam seperti pasar basah, premis perniagaan dan kedai makan bagi memastikan orang ramai patuh prosedur operasi standard (SOP).

Sehingga kini, Pasir Puteh masih tergolong dalam kategori zon merah dengan bilangan 52 kes sehingga semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 5:02 PM
Timbalan Ketua Jajahan Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab (tiga dari kini) bersama sebahagian pegawai dan anggota pasukan khas cegah Covid-19 membuat pemeriksaan di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Timbalan Ketua Jajahan Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab (tiga dari kini) bersama sebahagian pegawai dan anggota pasukan khas cegah Covid-19 membuat pemeriksaan di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias