LORI dipandu seorang lelaki warga India yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Subang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), dekat Petaling Jaya, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM.
LORI dipandu seorang lelaki warga India yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Subang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), dekat Petaling Jaya, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seorang lelaki warga India maut selepas lori dipandunya melanggar sebuah lori yang berhenti membuat pembayaran di Plaza Tol Subang, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 12.37 tengah malam tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati lori dipandu mangsa iaitu seorang lelaki warga India berusia 31 tahun melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di hadapan untuk membayar tol.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 6:33 PM