KEADAAN kereta mangsa. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta mangsa. FOTO ihsan Polis
Amirul Aiman Hamsuddin


JURUTERBANG Air Asia maut selepas kereta dipandunya terlanggar belakang lori di Kilometer 22.1 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah Selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.10 pagi itu, mangsa dikenali Mohd Hafiz berusia 35 tahun yang memandu kereta Perodua Kelisa maut di lokasi kejadian.

Manakala pemandu lori berusia 61 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa terlanggar tepat bahagian belakang lori yang sedang berjalan lurus.

"Kesan pelanggaran itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 3:40 PM