Siraj Mohd Zaini

SEORANG nelayan hilang selepas bot yang dinaikinya karam kira-kira 18.7 batu nautika dari Tanjong Karang, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian 4 pagi itu, bot yang dikemudi tekong, Ng Kiah Soon, 33 bersama tiga pekerjanya warga Indonesia dipercayai mengalami kerosakan akibat angin kuat, sebelum tenggelam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tekong bot dan dua pekerja berjaya diselamatkan bot nelayan lain yang berada di kawasan berhampiran, manakala seorang lagi hilang.

“Seorang lagi pekerja warga Indonesia hilang dan masih tidak dapat dikesan sehingga jam 1 tengah hari ini. Mangsa yang hilang berusia lingkungan 50 tahun," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, bot bernombor pendaftaran SLFA4615 itu tidak dapat dikawal selepas angin kuat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dibahagikan kepada beberapa sektor yang ditetapkan di sekitar perairan berkenaan.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan nelayan untuk mengesan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 3:28 PM