GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Terengganu: Seorang tekong bot nelayan dikhuatiri lemas di laut selepas bot dinaiki bersama dua lagi awak-awak karam di perairan Pulau Kapas, tengah hari semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pada kejadian 12.30 tengah hari, di kedudukan lapan batu nautika, Pulau Kapas itu, kedua-dua awak-awak bagaimanapun berjaya diselamatkan.

"Seorang lagi mangsa, Wan Mustapha Ayob, 62, masih hilang. Usaha mengesan dan mencari mangsa diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

"KM Redang diatur gerak sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 dilaporkan tenggelam di sekitar Pulau Kapas," katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 48 hingga 62 tahun itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dan maklumat diterima dari Maritim Terengganu bahawa kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan.

Katanya, APMM meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 9:54 AM