GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah

[email protected],my

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di Sabah, semalam, yang membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Maktab Sabah, Sembulan, di sini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Jalan Pintas Sembulan itu, setakat ini, menjangkiti seramai 18 pelajar asrama sekolah berkenaan.

Beliau berkata, kluster itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.

"Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 sebelum menjalani ujian RT - PCR pada hari yang sama dan didapati positif. Kes indeks sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) untuk dikuarantin dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi berkata, seramai 79 orang kontak rapat sudah disaring dan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi Kluster Jalan Pintas Sembulan itu seramai 18 orang, setakat ini.

Bagaimanapun, katanya semua yang didapati positif berada dalam kategori bergejala ringan iaitu Kategori 2 dan sudah dihantar ke pusat kuarantin selain menerima rawatan yang sesuai.

Sementara itu, Sabah semalam merekodkan sebanyak 1,600 kes baharu Covid-19, naik 315 kes berbanding 1,285 kes kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kes kematian disebabkan Covid-19 dilaporkan, manakala seramai 418 pesakit dilaporkan sembuh.

Dalam pada itu, hampir semua daerah di Sabah merekodkan peningkatan kes Covid-19 semalam dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 371 kes, diikuti Sandakan (322 kes), Tuaran (150 kes) dan Penampang (138 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:18 AM