FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Satu lagi kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan diisytiharkan di Sabah hari ini, kali ini membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, kluster baharu itu membabitkan pelajar asrama MRSM Tun Mustapha, di daerah Tawau.

Beliau berkata, Kluster Jalan Apas Batu Lima itu tercetus selepas pelajar perempuan Tingkatan 5 yang menjadi kes indeks dikesan positif melalui saringan bergejala pada 26 Januari lalu.

"Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sebilik, rakan sekelas dan rakan karib sudah dibuat dan mendapati seramai 11 orang lagi positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga kini, kluster itu mencatat 12 kes dengan 11 daripadanya dilaporkan hari ini.

Masidi berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pelajar lain yang menjadi kontak rapat juga diarah untuk diasingkan walaupun setakat ini saringan tidak menunjukkan mereka dijangkiti.

Pertambahan satu lagi kluster ini menjadikan 13 kluster aktif berkaitan institusi pendidikan di Sabah setakat ini, manakala enam lagi kluster berkaitan tempat kerja.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, secara keseluruhan, jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini melonjak secara mendadak kepada 490 kes.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan peningkatan 123 kes daripada 367 kes yang direkodkan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 4:25 PM