GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD    
GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD    
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan tiga lagi kluster pendidikan Covid-19 membabitkan dua daerah iaitu Kunak dan Kota Kinabalu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, dua kluster iaitu Kluster Jalan Getah dan Kluster Madai 2 dikesan di Kunak manakala Kluster Jalan Gudon dikesan di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Kluster Jalan Getah membabitkan sekolah apabila kes indeks adalah seorang pelajar perempuan yang dikesan positif pada 7 Februari selepas bergejala sejak 6 Februari.

"Saringan terhadap kontak rapat terdiri daripada rakan satu asrama berjaya mengesan 19 lagi kes positif.

"Selain itu, Kluster Madai 2 membabitkan SMK Madai apabila kes indeks iaitu pelajar perempuan berusia 13 tahun disahkan positif pada 3 Februari selepas bergejala sejak 1 Februari lalu.

"Saringan kontak rapat dibuat ke atas rakan satu asrama mendapati 39 lagi kes positif (termasuk kes indeks) menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40 kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, Kluster Jalan Gudon membabitkan SMK Bandaraya Kota Kinabalu dengan kes indeks adalah pelajar lelaki berusia 17 tahun yang bergejala sejak 4 Februari dan didapati positif 19 dalam saringan kendiri, sebelum mengesahkannya menerusi ujian RT- PCR pada 7 Februari.

Beliau berkata, saringan kontak rapat terhadap 143 individu mengesan 21 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 22 kes, termasuk lima kes baharu dilaporkan hari ini.

Katanya, semua kes dalam ketiga-tiga kluster terbabit adalah dalam kategori ringan, diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:19 PM