FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seramai 73 pelajar asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan dijangkiti Covid-19 sehingga mencetuskan Kluster Jalan Pertukangan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster yang berkaitan institusi pendidikan itu dikesan di mukim Pantai Elopura membabitkan daerah Sandakan.

"Kes indeks adalah pelajar lelaki berusia 16 tahun yang bergejala demam, batuk dan selesema sejak 16 Januari sebelum didapati positif pada hari sama.

"Kes indeks dikuarantin serta diberi rawatan selanjutnya. Saringan terhadap 117 pelajar mengesan 72 lagi kes positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73 kes.

"Semua kes positif adalah dalam kategori ringan iaitu kategori satu dan dua serta dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, kluster terbabit menjadikan daerah Sandakan sebagai daerah dengan kes harian Covid-19 tertinggi di Sabah hari ini iaitu sebanyak 74 kes.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 242 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 244,823 kes.

"Dua kematian dilaporkan hari ini iaitu satu kes di daerah Tuaran dan satu lagi kes di Kota Marudu.

"Seramai 230 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,074 orang.

"Sementara, 724 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 405 di hospital, 312 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tujuh di Pusat Tahanan Sementara (PTS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:27 PM