Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama masih lancar dan terkawal setakat 10 pagi hari ini.

Aliran trafik menuju utara dan selatan negara lancar berikutan sebelum ini orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung halaman masing-masing mulai 28 Januari lalu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam laporan media sosialnya menyatakan trafik di utara Semenanjung iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Lebuhraya Lingkaran Butterworth (LLB) lancar dan terkawal termasuk di lokasi berhampiran plaza tol.

Di selatan tanah air, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson masih dalam keadaan lancar dan terkawal termasuk di lokasi plaza tol.

Di timur, trafik keseluruhannya juga masih lancar dan terkawal di sepanjang laluan utama Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan LPT2 termasuk lokasi sekitar plaza tol.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Foto hiasan
Foto hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 10:45 AM