KUALA LUMPUR: Aliran trafik menuju ibu kota di beberapa lebuh raya utama masih perlahan setakat 9 malam berikutan orang yang meninggalkan ibu kota sempena cuti umum Hari Kebangsaan pulang untuk bekerja semula esok.

Jurucakap Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata, aliran trafik masih sesak dari Sungai Petani menuju Bertam, Seberang Jaya ke Prai, Juru ke Bukit Tambun, Changkat Jering ke Bukit Berapit, Ipoh ke Gopeng, Gopeng ke Sungkai dan dari Lembah Beringin ke Rawang.

Situasi sama turut berlaku di Lebuhraya PLUS arah selatan dengan kesesakan dilapor di Simpang Renggam menuju Sedenak dan Simpang Ampat ke Port Dickson.

Sementara itu jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Karak menuju Plaza Tol Bentong dan dari Genting Sempah menuju Plaza Tol Gombak.

Bagaimanapun jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur berkata aliran trafik di sekitar ibu kota masih bergerak lancar dan terkawal.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau melayari www.twitter.com/plustrafik atau www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 9:43 PM