ANTARA kanak-kanak yang sedang bermain pasir di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
ANTARA kanak-kanak yang sedang bermain pasir di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Selepas beberapa bulan pantai peranginan di sekitar sini sepi, hari ini ia kembali meriah biarpun hanya dipenuhi pengunjung dalam negeri.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pengunjung adalah daripada daerah lain dalam Negeri Sembilan dan beberapa peniaga mula berniaga untuk memeriahkan suasana seperti dahulu.

Pengunjung, Nazrul Kassim, 30, dari Rembau berkata, dia membawa isteri dan anak-anak ke sini untuk menghilangkan kebosanan selepas lama terkurung di rumah.

"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka dapat menghilangkan rasa bosan selepas sekian lama terperap di rumah namun perlu berhati-hati kerana virus pembunuh ini masih berleluasa.

"Sudah lama saya berjanji dengan anak-anak untuk membawa mereka datang ke sini dan inilah masa yang sesuai kerana pengunjung tidak terlalu ramai, hanya orang tempatan (Negeri Sembilan) yang berkunjung ke sini," katanya.

Manakala Noor Fadzli Shah Noor Hashim, 42, dari Seremban berkata, dia menunggu Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membawa isteri dan tiga anak ke sini.

"Saya nampak keadaan masih selamat kerana pantai di sini panjang dan pengunjung tidak perlu berkumpul dalam kumpulan yang besar.

"Pengunjung juga menjaga penjarakan fizikal antara satu sama lain terutama. Masyarakat kita sudah faham dengan prosedur operasi standard (SOP) selepas sekian lama," katanya.

Bagi peniaga, Affisusaini Abd Karim, 38, hari ini adalah hari pertama dia mula berniaga selepas beberapa bulan sebaik pantai dibuka kepada pengunjung.

"Memang terasa kerana berniaga adalah sumber pendapatan utama kami di sini namun kita akur kerana masalah ini adalah masalah global seluruh dunia dan berharap agar keadaan semakin pulih dari masa ke semasa.

"Namun dalam masa yang sama, kita mengharapkan pengunjung berdisiplin, menjaga penjarakan fizikal dan sama-sama kita berdoa agar keadaan bertambah baik dan dalam masa yang sama, kita boleh terus mencari rezeki di sini, 'kita jaga kita'," katanya yang menjual makanan ringan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya sudah bersedia menerima pengunjung secara berperingkat bagi memeriahkan kembali seluruh pantai Port Dickson.

Katanya, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak tertentu persiapan awal untuk tahun hadapan yang mana jangkakan 'pintu' untuk pengunjung luar.

"Di Port Dickson ini semua sedia maklum, banyak program bertaraf antarabangsa dan program-program ini sentiasa ada untuk orang terus datang ke tempat yang terkenal sebagai Pantai Peranginan Negara.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak Tourism Port Dickson yang memberikan kerjasama sebagai persediaan awal kita menanti kedatangan pengunjung ke Negeri Sembilan khususnya Port Dickson," katanya.

Mohd Zamri berkata, bagaimanapun penguat kuasa MPPD akan terus memantau supaya peniaga dan pengunjung terus mengikut SOP yang dibenarkan untuk pantai terus dibuka kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 2:36 PM