Beberapa khemah sewa yang dipasang khusus untuk pengunjung yang mahu menyewa di pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
Beberapa khemah sewa yang dipasang khusus untuk pengunjung yang mahu menyewa di pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
Mohd Khidir Zakaria


PANTAI Port Dickson semakin menarik tanpa banyak khemah dipasang peniaga selepas ia diarahkan dibuka oleh pihak berkuasa tempatan.

Tinjauan Harian Metro mendapati kurang 10 khemah dipasang peniaga khusus untuk mereka yang menyewa manakala ramai pengunjung hanya membentangkan tikar untuk berehat bersama keluarga, hari ini.

Pengunjung, Norhazlinda Ridzuan, 48, berkata, keadaan cuaca yang panas menyebabkan dia sekeluarga menyewa khemah namun keadaan pantai nampak lebih menarik tanpa deretan khemah yang banyak seperti selalu.

"Pantai Port Dickson tetap menjadi pilihan kami sekeluarga jika anak-anak berhasrat mahu mandi laut tetapi keadaan pantai yang tidak sarat dengan deretan khemah nampak lebih tersusun dan cantik.

"Kalau dahulu keadaan lebih serabut tetapi sekarang nampak lebih kemas dan khemah hanya dipasang jika ada permintaan," katanya yang datang dari Kuala Lumpur.

Bagi pengunjung dari Ipoh, Perak, Hamzah Ahmad, 36, keadaan pantai nampak lebih ceria berbanding sebelumnya susulan terlindung dengan deretan khemah sewa di sepanjang pantai ini.

"Sebelum ini keadaan pantai kurang menyenangkan kerana kita tak nampak laut, hanya khemah sewa di sepanjang pantai tetapi sekarang dah berubah, kita boleh pantau anak-anak yang sedang mandi.

"Saya rasa peniaga pun harus bertolak ansur dengan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan.

"Biarlah pengunjung buat pilihan mereka sendiri sama ada hendak menggunakan khemah sewa atau mereka nak bentang tikar yang dibawa sendiri," kata bapa kepada empat anak itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa berkata, semua khemah sewa milik peniaga diarah dibuka namun mereka masih boleh menyewa kepada pengunjung yang berminat.

"Pengusaha khemah sewaan dibenarkan beroperasi dengan syarat yang ditetapkan namun ia hanya dibuka kepada pengunjung yang mahu menyewa sahaja.

"Mereka juga harus mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) MPPD yang sudah dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta mesti merekod nama, alamat dan harus menyimpan semula dan tidak meninggalkan khemah di kawasan pantai setelah habis beroperasi," katanya.

Menurutnya, MPPD akan terus membuat pemantauan dan mengambil tindakan jika peniaga ingkar.

"Pantai ini milik awam dan keselesaan pengunjung adalah keutamaan kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 6:33 PM