Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Tidak benar insiden pergaduhan membabitkan pelanggan dengan peniaga, sebaliknya ia hanya salah faham antara peniaga di sini," kata Pengerusi Persatuan Penjaja Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, Asmadi Mohd Razali mengenai video pergaduhan yang tular di media sosial sejak semalam.

Asmadi berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 malam pada Selasa lalu, dan kebanyakan peniaga sedang berkemas bagi menutup premis masing-masing.

Katanya, dipercayai insiden itu berpunca daripada salah faham dan masalah peribadi antara dua peniaga di situ sejak sekian lama dan ia sudah diselesaikan dengan baik.

"Ia tidak membabitkan kerosakan harta benda, kecederaan antara peniaga atau pelanggan dan perbalahan itu hanya berlaku sebentar saja.

TANGKAP layar video tular insiden pergaduhan dipercayai membabitkan peniaga di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama. FOTO tular
TANGKAP layar video tular insiden pergaduhan dipercayai membabitkan peniaga di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama. FOTO tular

"Semasa kejadian, kebanyakan peniaga sedang berkemas bagi menutup operasi premis masing-masing pada jam 12 malam.

"Memang ada pelanggan yang masih menikmati makanan pada ketika itu namun tidak ramai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menerusi video tular berdurasi selama 1 minit 12 saat itu memaparkan pergaduhan yang berlaku ketika pelanggan sedang menjamu selera.

Perkongsian video itu mendapat perhatian ramai dan ada yang mendakwa ia berlaku kerana 'berebut pelanggan'.

Bagaimanapun, Asmadi meminta orang ramai supaya tidak melakukan sebarang spekulasi sehingga mencemarkan imej kompleks makanan berkenaan yang menjadi tumpuan pengunjung ke Pulau Pinang.

Katanya, pihaknya juga memberi jaminan bahawa kompleks makanan itu selamat bagi dikunjungi.

"Dalam perniagaan, di mana-mana pun boleh berlaku salah faham dan peniaga lain atau pelanggan tidak perlu bimbang kerana ia sudah diselesaikan dengan baik.

"Terdapat 32 gerai makanan dan minuman di sini yang menjadi tumpuan pengunjung ketika ke Pulau Pinang bagi menikmati hidangan seperti laksa, pasembor, rojak, jeruk, cendol dan lain-lain lagi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 11:39 AM