Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lima daripada kira-kira 20 individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan susulan kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam, sudah ditahan polis.

Kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, kemalangan membabitkan lori membawa muatan mozek dan dua kenderaan lain, pada 2 petang.

Soffian berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan penarik kereta akibat salah faham berkaitan urusan menarik kenderaan yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

"Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi gagal sebelum mendapatkan bantuan anggota polis cawangan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB).

"Ketika anggota MPV dan URB tiba di lokasi kejadian, semua individu berkenaan sudah melarikan diri," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.

Mengulas lanjut Soffian berkata, setakat ini, lima lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun sudah ditahan di sekitar Georgetown, semalam.

"Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu iaitu topi keledar dan pengunci motosikal (motorcycle fork lock)," katanya.

Menerusi video tular itu, pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di lebuh raya berkenaan.

Pergaduhan itu berlaku di laluan bertentangan kemalangan dan menghala ke pusat bandar raya.

Beberapa pengguna lebuh raya yang melalui laluan itu turut memperlahankan kenderaan mereka dan difahamkan berlaku kesesakan di kedua-dua arah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:10 AM