Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kerajaan negeri bersama Penang Green Council (PGC) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam proses menyediakan sembilan stesen pengecas motosikal elektrik (e-motosikal) percuma di sekitar kawasan pulau dengan tiga daripadanya sudah beroperasi pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, langkah itu bertujuan mempromosikan penggunaan motosikal elektrik selaras visi Pulau Pinang yang menyasarkan 50 peratus pengurangan karbon menjelang 2030.

"Tiga lokasi yang sudah mempunyai kemudahan ini ialah di Astaka Persiaran Gurney, Medan Renong Padang Kota Lama dan Astaka Batu Lanchang.

"Antara enam stesen yang bakal beroperasi tidak lama lagi ialah di Kompleks Bukit Gedung, Kompleks MBPP Lebuh Pantai, Kompleks Bukit Jambul dan Kompleks Sri Selera Bayan Baru," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan atau makanan untuk menjalin kerjasama dalam menyediakan lebih banyak stesen pengecasan percuma seumpama itu bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kenderaan rendah karbon.

"Langkah ini turut dapat membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan kumpulan B40 yang bergiat aktif dalam sektor penghantaran di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eclimo Sdn Bhd Liew Chun Peng berkata, pihaknya yang merupakan perintis skuter elektrik pertama negara melihat kadar penggunaan motosikal di Pulau Pinang dianggar mencecah satu juta unit namun kurang satu peratus daripadanya merupakan pengguna motosikal elektrik.

Zairil Khir Johari (kanan) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang (tengah) mencuba motosikal elektrik pada program stesen pengecas motosikal elektrik percuma di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama. FOTO MIKAIL ONG
Zairil Khir Johari (kanan) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang (tengah) mencuba motosikal elektrik pada program stesen pengecas motosikal elektrik percuma di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama. FOTO MIKAIL ONG

"Justeru kami mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan skuter elektrik kepada 50 penghantar makanan di negeri ini sebagai projek perintis pada masa yang sama membantu golongan sasar menambah pendapatan.

"Kami turut melihat kemudahan stesen pengecasan percuma seperti ini boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk menggunakan kenderaan elektrik sekali gus meringankan kos bahan api yang terpaksa ditanggung pekerja perkhidmatan itu sebelum ini," katanya

Seorang peserta, Mohd Izzudin Izhar, 26, berkata, dia berpeluang menggunakan skuter elektrik berkenaan secara percuma selama sebulan meliputi kadar penggunaan sejauh 150 kilometer dengan kapasiti pengecasan penuh yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

"Ia memang menjimatkan kerana sebelum ini kami mengeluarkan lebih RM20 sehari untuk kos petrol dan selepas ini kami turut berpeluang menyewa skuter ini dengan bayaran RM15 sehari sahaja.

"Ia masih berbaloi kerana kami tidak perlu lagi berbelanja lebih untuk penyelenggaraan motosikal seperti kos menukar minyak hitam semahal RM60 yang perlu dibuat dua hingga tiga kali sebulan bergantung kepada kekerapan operasi dan jarak perjalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 3:59 PM