Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: "Sudah tiada 'mood' hendak beraya," demikian luahan Cheah Seng Kun, 36, salah seorang mangsa puting beliung yang melanda Kampung Tawas di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan 49 rumah di kawasan yang rata-ratanya didiami masyarakat Tionghua itu mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung tercabut selain turut merosakkan sebahagian besar harta-benda lain di dalam rumah.

Menurut Seng Kun yang bekerja sebagai akauntan itu, seperti kebiasaan adik-beradiknya pulang ke rumah didiami bersama ibunya itu bagi menyambut Tahun Baru Cina bermula petang ini.

"Namun sekarang tidak ada persiapan dibuat kerana rumah tempat kami sekeluarga berkumpul di petang Tahun Baru Cina rosak akibat puting beliung," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Seng Kun berkata, ketika kejadian dia bersama ibu, abang, kakak ipar serta tiga kanak-kanak berada di rumah dan berlindung dalam tandas memandangkan itu sahaja tempat yang dirasakan selamat ketika itu.

"Nampaknya kami terpaksa mengemas rumah bukan untuk sambut Tahun Baru Cina, tetapi selepas dilanda puting beliung. Memang keceriaan untuk sambut raya sudah tiada," katanya.

Nasib sama dialami Lee Cheng Man, 23, bersama ibunya, Cheah Kim, 58, apabila hampir keseluruhan barangan dalam rumah musnah sekali gus membantutkan persiapan menyambut Tahun Baru Cina kali ini.

Lebih memilukan hati apabila musibah yang melanda membuatkan Cheng Man yang juga penuntut bidang Kejuruteraan Awam di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) terpaksa menangguhkan sementara pengajian yang sepatutnya bermula Februari ini.

"Banyak barang dalam rumah rosak malah persiapan untuk majlis makan besar juga tidak dibuat.

"Kelengkapan kuliah saya seperti komputer pun hancur. Jadi kemungkinan saya terpaksa menangguhkan pengajian pada semester kali ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan kecemasan segera RM300 akan disalurkan kerajaan negeri, petang ini kepada setiap keluarga terjejas.

Katanya, bencana alam itu secara keseluruhan menyebabkan 219 rumah terjejas membabitkan empat lokasi sekitar Ipoh iaitu Kampung Tawas / Taman Tasek Damai, Desa Sri Chepor, Klebang, dan Taman Desa Impian.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut melantik kontraktor secara 'ad hoc' untuk membaiki kerosakan kediaman penduduk terbabit.

"Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga akan menyusuli bantuan ihsan sebanyak RM1,000 kepada mangsa," katanya kepada pemberita sewaktu meninjau lokasi kejadian hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:19 PM