Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tembak yang mengorbankan seorang lelaki di sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, di sini malam tadi untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mereka yang mempunyai maklumat itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Nurul Farahida Ismail di talian 019-5658059 atau 04-5382222.

Menurutnya, polis sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an meninggal dunia dipercayai ditembak di tempat letak kereta pangsapuri berkenaan.

"Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai ditembak ekoran penemuan beberapa kelongsong peluru di lokasi kejadian.

"Mangsa disyaki ditembak oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki dua motosikal nombor pendaftarannya tidak diketahui.

"Dalam pada itu, semakan rekod mendapati mangsa mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk menjadi orang dikehendaki polis," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shafee berkata, mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

"Siasatan kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Media hari ini melaporkan seorang lelaki ditemui maut dengan terdapat 12 kesan tembakan dalam kejadian di tingkat tiga tempat letak kenderaan sebuah kondominium, di sini pada jam 8.45 malam tadi.

Terdahulu, polis tidak menolak kemungkinan bahawa kejadian itu bermotifkan dendam ekoran mangsa didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

Berita berkaitan

Lelaki ditemukan maut dengan 12 kesan tembakan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 3:37 PM