Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian di premis aksesori telekomunikasi di Bandar Sunway di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengahari itu, mangsa yang berusia 32 tahun maut akibat ditembak sekurang-kurangnya dua das.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian oleh seorang lelaki yang datang ke Balai Polis Sunway memberitahu terdapat lelaki ditembak di sebuah premis.

"Polis ke tempat kejadian dan mendapati lelaki terbabit terlantar dalam keadaan berdarah akibat kesan tembakan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia apabila sampai di Hospital Serdang, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki tiga lelaki masuk ke dalam premis dan dua daripadanya melepaskan tembakan ke arah mangsa.

"Forensik hadir ke tempat kejadian dan menemui dua kelongsong peluru, satu serpihan peluru, satu anak peluru, dua swab darah dan sepasang selipar di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah samun dan curi, "katanya.

Wan Azlan berkata, pihaknya kini sedang menyiasat pembabitan mangsa dalam kumpulan kongsi gelap.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 6:56 PM