NOOR Azam (dua kiri) menunjukkan pelbagai senjata yang digunakan penjenayah yang  ditembak mati di Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NOOR Azam (dua kiri) menunjukkan pelbagai senjata yang digunakan penjenayah yang ditembak mati di Cyberjaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


Empat penjenayah yang ditembak mati sepasukan polis di tempat letak kereta di sebuah kondominium di Cyberjaya pagi tadi dipercayai baru menyamun sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Cheras di Kuala Lumpur.

Difahamkan, kumpulan penjenayah juga warga tempatan berkenaan memecah masuk sebuah kediaman di Jalan 5/3 Taman Segar Perdana itu sebelum melarikan wang tunai, barang berharga dan sebuah kereta jenis Mercedes warna hitam kira-kira 6 pagi tadi.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Polis Kontinjen (IPK) Selangor digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek.

Maklumat dan risikan akhirnya berjaya mengesan kereta mangsa di tingkat bawah kawasan letak kereta kondominium terbabit kira-kira 9.30 pagi.

Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki secara tiba-tiba keluar dari kereta jenis Volkswagen Passat parkir di sebelah Mercedes berkenaan.

Lelaki berkenaan yang bersenjatakan parang dilihat cuba menyerang polis dan pada masa sama beberapa lagi rakannya turut melepaskan tembakan ke arah polis.

Polis kemudiannya membalas tembakan dan kesemua lelaki terbabit berjaya ditembak mati.

Selain kereta mangsa, polis turut menemui barang yang dipercayai disamun dari rumah di Taman Segar Perdana dalam kereta Mercedes berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati sepasukan anggota polis mengawal laluan keluar masuk ke tempat letak kereta kondominium berkenaan.

Kesemua mayat kumpulan lelaki berkenaan dilihat dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 3.40 petang tadi.

Maklumat lanjut mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang petang ini.

Berita berkaitan

Empat penjenayah ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:45 PM