Yusof Abdul Rahman.
Yusof Abdul Rahman.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Peniaga makanan digesa tidak mengambil kesempatan atas keputusan kerajaan membenarkan harga makanan dinaikkan susulan peningkatan harga bahan mentah.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga juga perlu bersedia untuk menurunkan semula harga sekiranya harga dan bekalan bahan mentah sudah kembali stabil.

Menurutnya, realiti kenaikan harga sememangnya tidak boleh dinafikan malah ia turut menghimpit peniaga.

"Peniaga perlu pastikan harga yang dinaikkan kelak tidak menyebabkan pengguna terbeban dan margin kenaikan melampau.

"Jangan pula ambil kesempatan atas kebenaran diberikan kerajaan untuk sewenang-wenangnya mengaut keuntungan mudah.

"Kenaikan juga perlu sejajar dengan kenaikan harga bahan mentah dan mereka perlu turunkan harga apabila bahan mentah kembali stabil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu lebih kerap turun padang untuk memantau peniaga agar tidak melakukan pencatutan harga.

Katanya, adalah tidak adil jika harga masih kekal tinggi walaupun harga bahan mentah sudah stabil dan turun.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid sebelum ini dilapor berkata, peniaga makanan dibenarkan untuk menaikkan harga jualan mereka dengan syarat, tiada sebarang unsur mencatut.

Beliau dipetik berkata, kebenaran itu diberi berikutan ramai peniaga kini berdepan masalah susulan harga bahan mentah yang semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 4:13 PM