Mohd Roji Kawi


Kuching: Peniaga makanan boleh menaikkan harga jualan mereka dengan syarat tidak mengaut keuntungan terlalu tinggi sehingga membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kebenaran itu diberikan berikutan ramai peniaga kini berdepan beban apabila harga bahan mentah semakin meningkat.

Menurutnya, berikutan itu peniaga harus memastikan kenaikan harga jualan mereka itu adalah munasabah dan tidak membebankan pengguna.

"Kita sudah berunding dengan peniaga dan meminta mereka agar tidak menaikkan harga barang secara mendadak.

"Kita juga hendak memastikan peniaga tidak mengalami kerugian kerana harga bahan mentah sudah meningkat sebab itu mereka boleh menaikkan harga tetapi tidak ada unsur mencatut iaitu janganlah mengaut keuntungan terlampau tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.

Menurutnya, kebenaran itu diberikan selepas pihaknya mengkaji memang ada keperluan untuk menaikkan sedikit harga barangan kerana KPDNHEP bertanggungjawaab untuk menjaga semua pihak termasuk peniaga dan pengguna.

Mengenai kenaikan harga ayam yang diramal meningkat selepas SHMKM tamat 4 Februari ini, Rosol berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menanganinya termasuk menambah kuantiti ayam di pasaran.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) untuk meningkatkan bekalan dengan membawa ayam import.

"Mafi sudah mengeluarkan 20 permit import (AP) untuk menyelesaikan masalah bekalan seterusnya mengawal harga ayam di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:37 PM
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, mengadakan walkabout sempena pelaksanaan skim harga maksimum keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong. FOTO NADIM BOKHARI
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, mengadakan walkabout sempena pelaksanaan skim harga maksimum keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong. FOTO NADIM BOKHARI