NOR Masziun menunjukkan minyak masak yang dijual di premisnya mengikut harga lama. FOTO Saifullizan Tamadi.
NOR Masziun menunjukkan minyak masak yang dijual di premisnya mengikut harga lama. FOTO Saifullizan Tamadi.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu kenaikan harga minyak masak botol sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna, terutama peniaga makanan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila bekalan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram (kg) juga dikatakan berkurangan di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya sekitar Bangsar dan Bandar Tun Razak di sini, mendapati harga minyak masak dalam botol naik mendadak, dengan ada jenama dijual antara RM41 sehingga RM46 bagi setiap botol lima kg.

Rata-rata peniaga yang ditemui mengakui berlaku kenaikan harga kira-kira RM10 bagi minyak masak campuran dalam botol dan membabitkan beberapa jenama.

Pengurus operasi sebuah pasar raya di Bandar Tun Razak, Nor Masziun Md Nasir turut mengakui minyak masak campuran dalam botol lebih tinggi harganya berbanding minyak masak tulen yang masih dijual pada harga lama.

"Rata-rata pelanggan kini ramai yang memilik minyak peket berbanding botol kerana harganya lebih murah" katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak peket kepada dua peket bagi setiap pelanggan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

Katanya, ia juga bagi mengelak ada pihak menyalahgunakan minyak subsidi itu dengan memborongnya bagi kegunaan perniagaan atau dijual semula apda harga lebih tinggi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan berlaku lagi kenaikan harga minyak masak botol, Nor Masziun berkata, setakat ini tiada maklumat daripada pihak pembekal mengenai perkara itu.

Bagi pengguna, Mohd Shahril Azhar, 45, kenaikan harga minyak masak sebelum ini sudah memberi kesan kepada orang ramai terutama peniaga sepertinya.

"Dengan keadaan sekarang banyak bahan mentah naik harga, sudah tentulah kenaikan harga minyak masak akan menambah beban lagi.

"Saya tidak boleh menaikkan harga makanan yang dijual sesuka hati kerana memahami kehendak pembeli, walaupun kos bahan mentah meningkat. Apa yang penting saya dapat tampung kos dan mendapat sedikit keuntungan sudah memadai," katanya.

Fatin Syazwanie Suhaimi, 18, pula berkata, kenaikan mendadak itu memberikan kesan yang cukup besar buat golongan berpendapatan rendah atau B40.

"Bagi keluarga besar macam saya ini, ibu bapa saya selalunya membeli bahan mentah sekali seminggu dan nak beli minyak peket sekilogram tidak berbaloi, ditambah pula pembelian hanya dihadkan beberapa peket saja.

"Jadi tentulah kenaikan harga akan membebankan apatah lagi jika keluarga berpendapatan rendah," katanya.

Yan Fazuin Abd Rahman, 30, yang bekerja sebagai jurujual produk sejuk beku mengaku mendengar ramai orang mengeluh apabila harga minyak masak dalam botol naik.

"Ada peniaga kecil-kecilan yang datang ke kedai beritahu kemungkinan terpaksa menghentikan perniagaan kerana tidak mampu menanggung kos bahan mentah yang tinggi, apatah lagi dengan kenaikan harga minyak masak ini," katanya.

Justeru, Yan berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat melakukan pemeriksaan lebih kerap bagi memastikan harga minyak masak tidak naik mendadak sehingga membebankan rakyat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini dilaporkan berkata, minyak masak yang mengalami kenaikan harga sehingga RM10 bagi botol 5kg tidak dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana ia kategori minyak masak campuran.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkaitan tidak boleh sesuka hati 'memainkan' harga minyak masak campuran di pasaran dan KPDNHEP mempunyai kuasa untuk menyiasat mengikut AKHAP berdasarkan asas mencatut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 3:09 PM