DATUK Rosol Wahid. FOTO arkib NSTP
DATUK Rosol Wahid. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya menjadi penekanan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menangani isu kenaikan harga barang dan makanan.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, maksud sebenar berhubung kenyataan 'peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut' adalah menerangkan maksud Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Iaitu peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP2011, termasuk tidak mencatut.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran.

"Begitu juga dalam isu harga makanan, yang mana peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah membuat sebarang perubahan harga jual," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau mengambil maklum laporan media mengenai kenyataan dibuatnya di Kuching, Sarawak, pada Jumaat lalu berhubung isu perubahan dan ketidakstabilan harga barang keperluan makanan ketika ini, yang turut memberi kesan kepada perniagaan makanan bermasak.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat sesetengah kenyataan yang dilaporkan termasuk laporan susulan yang dibuat adalah kurang tepat dan menimbulkan kekeliruan awam.

"Adalah diingatkan dan ditegaskan, peniaga tertakluk dengan peruntukan AKHAP 2011 yang mana peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan.

"Peniaga diingatkan tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos yang ditanggung dan perlu munasabah dalam membuat sebarang perubahan harga jual supaya tidak membebankan pengguna," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga, peniaga yang berkenaan akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011.

Mengulas lanjut, katanya, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:04 PM