ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penerimaan masuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) adalah berasaskan merit dan kelayakan.

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mewakili bekas graduan Fakulti Undang-Undang UM terpanggil untuk menyatakan sudut pandangannya berkenaan komen yang berbaur fitnah yang dibuat seorang pengguna Facebook, Andrew Peris.

Andrew mempertikaikan kelayakan pendidikan dan integriti Ismail Sabri sewaktu diterima masuk untuk meneruskan pengajian Ijazah Perundangan (LLB) di Fakulti Undang-Undang UM.

"Komen itu boleh dianggap sebagai satu tindakan untuk mencemar dan memburukkan imej Perdana Menteri dan seterusnya mencalar reputasi Fakulti Undang-Undang UM.

"Fakulti Undang-Undang UM ditubuhkan pada 1972, di mana pada ketika itu Allahyarham Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz adalah Naib Canselor UM.

"Dekan pertama fakulti adalah Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim, allahyarham adalah seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan rantau Asia," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Menurutnya, beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu.

"Selaku dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti atau penuntut yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar.

"Ketika Perdana Menteri (Ismail Sabri) diterima masuk pada 1980, Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim adalah Dekan yang menguruskan keseluruhan fakulti.

"Dengan sifat integriti yang amat tinggi, adalah sukar untuk sesiapa diterima masuk tanpa memenuhi kelayakan yang ditetapkan ke Fakulti Undang-Undang UM sebagai penuntut," katanya.

Shahrizat berkata, Perdana Menteri juga membuktikan beliau wajar mendapat biasiswa ketika pengajiannya di UM apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan seterusnya diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.

"Fakulti Undang-Undang UM adalah yang pertama dan terulung di negara ini dan dalam hampir 50 tahun penubuhannya pada tahun ini, fakulti kami berjaya melahirkan tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara dan hakim, Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, peguam dan ahli korporat yang disegani.

"Walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga mampu melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang UM yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:20 PM