Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) diarah untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa.

"Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya membabitkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas 50 tahun, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor UM, hari ini.

Hadir sama Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Ismail Sabri berkata, seperti sedia maklum beberapa langkah proaktif juga sudah diambil kerajaan dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia.

"Antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, ada keliru dengan pemansuhan ini (dan menganggap) seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.

"Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah berkenaan dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain.

"Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan," katanya.

Beliau berkata, langkah lain yang diambil ialah menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang mana tindakan melompat parti, terutamanya pasca Pilihan Raya Umum ke-14 merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

Selain itu, penggubalan RUU Dana Sumbangan Politik juga adalah memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek-aspek lain termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik.

"Sebagai seorang pengamal undang-undang saya amat menghormati Doktrin Pengasingan Kuasa dan Hubungan Antara Eksekutif dan Kehakiman. Saya memberi jaminan bahawa kebebasan badan kehakiman dan legaslatif akan terus terpelihara.

"Yang terakhir ialah pembaharuan parlimen. Bagi memastikan badan legaslatif dapat berfungsi dengan sempurna, saya sedang membantu institusi ini untuk membuat transformasi.

"Antaranya, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen. Akta Perkhidmatan Parlimen yang sudah dimansuhkan pada 1993 bagi mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen, kerajaan akan memperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 5:21 PM