Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Kemalangan jalan raya 10 tahun lalu menyebabkan Mohd Zulkarman Yusoff koma selama enam bulan sebelum kini hanya mampu terlantar di atas katil.

Mohd Zulkarman, 28, yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik kini lumpuh dari paras pinggang ke bawah dan perlu diuruskan seperti bayi selain perlu diberi minum serta disuapkan makan.

Ibunya yang juga ibu tunggal, Rohani Hussin, 66, berkata, lebih menyedihkan lagi, sejak anaknya terbabit kemalangan, wang simpanan sudah habis digunakan untuk membeli keperluannya.

"Sejak tiga tahun lalu, saya terpaksa berhenti memberikan susu khas kepadanya disebabkan masalah kewangan dan nasib baik lampin pakai buang ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Sebulan sekali saya akan ke pejabat Perkeso di Kuala Krai untuk mengambil barang keperluan ini," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pangkal Changgong, di sini, hari ini.

Mengimbas kejadian itu, Rohani berkata, anaknya terbabit kemalangan di Pahang pada 2012 selepas motosikal ditunggang sepupunya terbabas ketika dalam perjalanan menonton perlawanan bola sepak.

Menurutnya, sepupunya itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah, manakala Mohd Zulkarman koma selama enam bulan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Krai.

ROHANI Hussin menjaga Mohd Zulkarman yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah di Kampung Pangkal Changgong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
ROHANI Hussin menjaga Mohd Zulkarman yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah di Kampung Pangkal Changgong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Pada ketika itu, saya amat sedih apabila melihat anak yang terlantar dan sedang bertarung nyawa, namun berkat doa tidak pernah putus, Mohd Zulkarman dipanjangkan usia walaupun kehidupannya tidak seperti dulu.

"Selain menguruskan Mohd Zulkarman yang terlantar dan memerlukan perhatian, saya menjaga anak bongsu, Mohd Zulhilmi, 24, yang juga orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan pendengaran," katanya.

Rohani berkata, dia yang sebelum ini bekerja di ladang estet di Pahi mengambil keputusan untuk menjual rumahnya di Manek Urai, Kuala Krai pada 2019 disebabkan tidak lagi menetap di situ dan kini tinggal bersama anak serta menantunya di Machang.

Menurutnya, wang hasil jualan rumah itu digunakan untuk menampung kos rawatan Mohd Zulkarman selain perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

"Lebih menyedihkan, wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dihentikan pada hujung tahun lalu disebabkan kami berpindah dan tidak lagi menetap di Kuala Krai.

"Bagaimanapun, saya sudah membuat permohonan di JKM Machang dan berharap urusan ini dipermudahkan bagi membeli barang keperluan Mohd Zulkarman," katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 03072020993641 atas nama Rohani Hussin atau menghubungi anaknya, Rosmawati di talian 013-9020950.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:19 PM