Siti Rohana Idris


Machang: Pernah berlapar beberapa hari akibat tiada makanan dan kehabisan gas memasak, tiga beranak dari Kampung Pangkal Changgong, di sini, terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada jiran tetangga.

Keadaan semakin genting apabila Mek Yah Che Ting, 54, dan dua anaknya, Wan Nurul Safikah Wan Hamat, 20, dan Wan Muhamad Khairi Danial, 15, diberi kata dua sama ada membayar sewa rumah atau berpindah disebabkan sewa RM200 sebulan sudah beberapa bulan tertangguh.

Mek Yah yang juga seorang ibu tunggal terlantar sejak hampir dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis, darah tinggi serta buah pinggang dan kini bergantung sepenuhnya kepada dua anaknya itu yang dalam usia muda terpaksa menggalas tanggungjawab berat.

"Wan Nurul Safikah bekerja di kedai makan dengan upah RM25 sehari manakala Danial yang berhenti sekolah ketika di Tingkatan Satu kini mengambil upah mengangkat barang di Pasar Borong Wakaf Bata, di sini dengan pendapatan RM20 sehari.

"Ketika sihat dulu saya menyara hidup kami dengan menoreh getah, tapi sejak hampir dua tahun lalu saya terlantar begini, dua anak ini yang mengambil alih tugas menguruskan hidup kami," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Kedua-dua mata Mek Yah semakin kurang nampak disebabkan komplikasi kencing manis dan dia langsung tidak mampu menguruskan diri, sebaliknya perlu didukung untuk mandi dan dipakaikan lampin pakai buang.

Dia meluahkan rasa bersalah terhadap dua anaknya itu kerana di usia muda terpaksa menggantikan tugasnya sebagai ketua keluarga dengan bekerja demi kelangsungan hidup mereka.

Katanya, lebih mengecewakan apabila Danial tidak mampu menamatkan persekolahan kerana kekangan kewangan.

"Bab ikat perut dan catu makanan sudah biasa kami lalui terutama ketika di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

"Pada ketika itu, dua anak tidak bekerja dan keadaan sangat menyedihkan, namun kami terus bersabar," katanya yang kematian suami sejak 15 tahun lalu.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf, yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan susu khas dan lampin pakai buang buat Mek Yah.

Bagi Wan Nurul Safikah, dia dan adiknya tidak berasa terbeban menguruskan ibunya dan bernasib baik bekerja dalam tempoh waktu berlainan, sekali gus membolehkan mereka bergilir menjaga Mek Yah.

"Danial yang bekerja di awal pagi pulang ke rumah menjelang tengah hari dan kami akan bersama-sama menguruskan mek (ibu) termasuk mendukungnya untuk mandi kerana pada 6.30 petang saya pula perlu bekerja dan pulang tengah malam sebaik kedai makan ditutup.

"Keadaan mek memang semakin teruk kebelakangan ini dan dia hanya bertahan dengan ubat sahaja tanpa mendapatkan rawatan di hospital kerana kami tiada wang untuk menanggung kos rawatan mek," katanya.

Kepada yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Agro milik Wan Nurul Safikah iaitu 2-00-1672-00010739-1 atau menghubunginya di talian 01124700212.

WAN Nurul Safikah mengurut Mek Yah yang terlantar akibat pelbagai penyakit di Kampung Pangkal Changgong, Machang, semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS
WAN Nurul Safikah mengurut Mek Yah yang terlantar akibat pelbagai penyakit di Kampung Pangkal Changgong, Machang, semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 11:43 AM