Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Seorang warga emas bukan sahaja menderita kerana kanser pangkal hidung tahap empat, malah dia terpaksa menahan kesakitan akibat lehernya melecur selepas menjalani rawatan radioterapi sejak sebulan lalu.

Che Musa Che Abdullah, 74, kini tidak dapat menelan makanan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang diberikan dengan saluran tiub melalui hidung sebanyak tujuh kali sehari setiap tiga jam.

Isterinya, Rusnani Mustapha, 65, berkata, Che Musa disahkan menghidap kanser pangkal hidung Januari lalu dan sudah menjalani 27 rawatan kemoterapi dan 35 rawatan radioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Namun menurutnya, sejak tiga bulan lalu, kesihatan Che Musa makin merosot dan hanya terlantar selain segala keperluan perlu diuruskannya termasuk memberi susu, menukar lampin pakai buang dan juga memandikannya.

"Lebih menyedihkan lagi fizikal suami semakin kurus dan hanya kelihatan kulit membalut tulang. Pilu rasa hati melihat dia menanggung derita dan kesakitan.

"Bukan itu sahaja, malah keperitan kesan rawatan radioterapi lebih berganda berbanding kesakitan kanser yang ditanggung oleh suami kerana lehernya juga seolah-olah seperti kesan terbakar dan melecur yang mungkin disebabkan penggunaan kuasa sinaran lebih tinggi untuk membunuh sel kanser," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenereh Bongkok.

Rusnani menguruskan suaminya yang menderita penyakit kanser pangkal hidung. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Rusnani menguruskan suaminya yang menderita penyakit kanser pangkal hidung. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Terdahulu keluarga berkenaan disantuni sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) yang turut menyerahkan lampin pakai buang, susu, dan juga wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung.

Rusnani berkata, penyakit dihidapi suaminya mula dikesan pada Mei tahun lalu, apabila Che Musa sakit pada bahagian leher yang ketika itu dianggap lenguh seperti biasa disebabkan penat bekerja.

"Bagaimanapun, selepas itu mata kanan suami tidak boleh dibuka dan pendengaran juga terganggu. Kami membuat pemeriksaan segera di Klinik Kesihatan Pulai Chondong dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Doktor mengesahkan ia sel kanser dan suami dirujuk ke Hospital USM bagi rawatan lanjut," katanya.

Katanya, apabila suami disahkan menghidap penyakit kanser pangkal hidung tahap empat, dia merasakan dunianya seakan gelap seketika kerana sebelum ini suaminya sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria.

"Setiap bulan saya memperuntukkan sekurang-kurangnya hampir RM1,000 sebulan untuk membeli keperluan suami termasuklah lampin pakai buang dan susu khas berharga RM75 setin yang hanya bertahan untuk tempoh dua atau tiga hari sahaja.

"Mujurlah suami mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung untuk digunakan bagi membeli keperluannya," katanya.

Rusnani berkata, hasil perkongsian hidup bersama suaminya sejak lebih 50 tahun lalu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan kini hanya menumpang kasih sayang daripada dua anak angkat yang turut sama menguruskan suaminya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 03119-29-00001763-8 atas nama Rusnani Mustapha atau boleh menghubungi anak angkatnya, Jasmadi Jafri di talian 014-2119037.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 1:24 PM