Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang ibu tunggal bukan sahaja menjaga serta menguruskan anak yang menghidap Cerebral Palsy (CP) malah kesihatan dirinya juga semakin merosot sehingga menjejaskan penglihatannya.

Menurut Siti Zubaidah Mohd Ali, 58, kedua-dua matanya semakin kabur akibat komplikasi kencing manis dihidapinya.

Katanya, ia kini menjejaskan saraf di matanya dan pada Oktober tahun lalu, mata kirinya sudah tidak dapat melihat manakala mata kanan kian kabur.

Menurut Siti Zubaidah, bagi menguruskan anak bongsunya, Nur Athirah Najihah Ibrahim, 20, dia mengupah orang dengan bayaran RM20 hingga RM30 untuk antaranya menyuap makanan, memandi dan menukar lampin pakai buang.

"Sebelum ini, saya mampu menguruskan anak sendirian namun selepas kesihatan semakin merosot, ditambah pula dengan masalah penglihatan, saya terpaksa mengupah orang.

"Pada waktu malam, saya melakukannya semua itu sendiri kerana tiada pilihan," katanya ditemui di rumah sewanya di Kampung Pangkal Changgong, Machang di sini, semalam.

Menurut Siti Zubaidah, seorang anaknya sudah meninggal dunia manakala dua lagi menderita sakit.

Katanya, dua anaknya yang sakit itu juga tidak bekerja serta bergantung harap kepada pasangan masing-masing.

SITI Zubaidah yang mengalami masalah penglihatan tabah menjaga anak bongsunya, Nur Athirah Najihah yang telantar dan menghidap Cerebral Palsy ketika ditemui di rumah sewanya di di Kampung Pangkal Changgong, Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SITI Zubaidah yang mengalami masalah penglihatan tabah menjaga anak bongsunya, Nur Athirah Najihah yang telantar dan menghidap Cerebral Palsy ketika ditemui di rumah sewanya di di Kampung Pangkal Changgong, Machang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Nur Athirah tidak boleh bercakap dan saya hanya faham kehendaknya melalui kerdipan matanya.

"Saya juga mengerti perasaan Nur Athirah walaupun tidak berkomunikasi secara normal," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Siti Zubaidah di talian 017-9645289 atau di akaun Agro Bank 2 00 6672 00009242 6 atas nama Siti Zubaidah Mohd Ali.

Menceritakan kembali keadaan anaknya itu, Siti Zubaidah berkata, Nur Athirah yang juga anak bongsu daripada empat beradik disahkan menghidap CP sejak berusia sembilan bulan.

"Nur Athirah dilahirkan ketika usia kandungan tujuh bulan dengan berat 0.8 kilogram. Disebabkan itu, Nur Athirah terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian lebih dua bulan.

"Bagaimanapun, ketika Nur Athirah berusia sembilan bulan, saya sekali lagi diuji apabila dia mengalami demam dan batuk berpanjangan. Doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di otak sebelah kiri.

"Pada awal 2003, dia menjalani pembedahan di HUSM bagi membuang sebahagian otak yang dijangkiti kuman," katanya.

Siti Zubaidah berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, pada awal tahun lalu, dia membuka kedai menjual jeruk di hadapan rumahnya.

Bagaimanapun, pada akhir tahun lalu, apabila kesihatannya semakin merosot, dia yang kematian suami, Ibrahim Abdul Rahman sejak 11 tahun lalu akibat serangan jantung, terpaksa menutup operasi kedai itu.

"Kini, kami hanya bergantung kepada bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga buntu memikirkan untuk mencari rumah sewa lain kerana tuan rumah memberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk kami keluar memandangkan kediaman ini akan dibaiki," katanya.

Dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu, Siti Zubaidah berusaha mencari rumah sewa lain dengan kadar bayaran sewa lebih murah namun setakat ini, masih belum berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 11:36 AM