DR Koh Kar Chai
DR Koh Kar Chai
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci kes penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu dan seterusnya membawa pesalah ke muka pengadilan.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, pesalah perlu dijatuhkan hukuman paling berat kerana kes demikian adalah kesalahan serius yang berisiko membahayakan nyawa tidak terkira banyaknya.

Beliau berkata, kes terbaru amat mengejutkan apabila lebih 5,000 sijil digital vaksinasi dikeluarkan klinik di Gombak kepada individu tidak diberikan suntikan vaksin Covid-19.

"Kami serius terhadap segelintir yang mencemarkan nama baik dan reputasi profesion perubatan.

"MMA akan menyokong tindakan paling tegas diambil terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terbabit dalam perbuatan tidak bertanggungjawab dan jenayah berkenaan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi pengamal perubatan berdaftar, lesen mereka boleh dibatalkan Majlis Perubatan Malaysia.

Katanya, Unit Penguatkuasaan Kemudahan Swasta di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil langkah tegas lain seperti penutupan segera premis dan mendakwa mereka yang didapati terbabit kegiatan itu di mahkamah.

"Semalam, MMA menerima aduan daripada seorang individu mengenai sijil vaksin palsu dan akan membuat laporan polis.

"Orang ramai boleh menghantar aduan melalui e-mel kepada [email protected]," katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, polis mengesan sebuah klinik swasta di Gombak disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa melalui proses suntikan vaksin.

Menurutnya, dalam serbuan di klinik itu pada Jumaat lalu, tujuh individu termasuk pemilik klinik berkenaan ditahan.

"Tujuh individu ditahan itu berumur antara 20 hingga 35 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita membabitkan pemilik, pekerja dan runner klinik itu.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu dikesan menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera melalui aplikasi WhatsApp.

"Klinik itu mendapat kebenaran KKM untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19. Pemeriksaan ke atas komputer riba dirampas mendapati, terdapat 5,601 pesakit didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:27 PM