KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KAMARUL Zaman menunjukkan gambar suspek yang ditangkap berkaitan sindiket penjualan sijil vaksin palsu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor berjaya membongkar sindiket penjualan sijil digital vaksin palsu di bandar raya ini dengan penahanan tiga pekerja klinik swasta dan lima pembeli sijil berkenaan, pada Isnin dan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata penahanan itu dibuat hasil laporan polis yang dibuat pemilik klinik swasta di sini, pada jam 10.53 malam, Ahad lalu.

Katanya, pemilik klinik swasta berkenaan terkesan dan tidak bersetuju dengan aktiviti penjualan sijil digital vaksin tanpa suntikan oleh pekerja kliniknya, yang dipercayai sudah berlangsung sejak sebulan lalu.

"Bertindak atas maklumat pengadu, polis menahan lapan suspek di sekitar bandar raya ini membabitkan tiga pekerja klinik itu dan lima pembeli sijil digital vaksin yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Kesemua suspek berkenaan berusia antara 24 hingga 42 tahun. Turut dirampas lapan telefon bimbit milik suspek termasuk pembeli yang mengandungi imej sijil digital vaksin tidak sah selain komunikasi perbualan antara kakitangan klinik dan pembeli berkenaan selain peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mendaftarkan butiran penerima sijil vaksin digital palsu dalam sistem MySejahtera.

"Kesemua rampasan akan dianalisa bagi mengenal pasti individu yang didaftarkan menerima sijil vaksin palsu di dalam MySejahtera tanpa menerima suntikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menerima laporan dari empat negeri iaitu Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan berhubung klinik swasta menjual sijil vaksinasi palsu setakat ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, dalang utama dalam sindiket ini iaitu lelaki berusia 44 tahun sedang diburu.

"Menerusi siasatan awal, kita sedang mengesan 22 lagi pembeli sijil vaksinasi palsu yang semua maklumat mereka sudah diperolehi.

"Kesemua 22 pembeli sijil vaksinasi palsu ini diminta menyerah diri segera sebelum polis membuat penahanan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang memburu seorang lagi lelaki berusia 44 tahun iaitu dalang utama kepada sindiket berkenaan.

Menurutnya, kakitangan klinik itu menerima bayaran antara RM300 hingga RM650 bagi setiap sijil digital vaksin palsu yang didaftarkan ke MySejahtera tanpa menerima sebarang suntikan vaksin.

"Modus operandinya adalah kakitangan klinik itu menggunakan ejen atau wakil yang diperoleh dari Facebook atau kumpulan WhatsApp, bagi mencari individu yang mahu sijil digital vaksin tanpa perlu disuntik.

"Pembeli kebanyakannya adalah orang awam yang perlu menggunakan MySejahtera bagi membolehkan mereka melancong selain golongan anti-vaksin yang tidak mahu disuntik vaksin.

"Ejen akan dibayar komisen sebanyak RM125 bagi setiap sijil digital palsu yang diperolehi.

"Kakitangan klinik swasta berkenaan yang mempunyai akses kepada pendaftaran MySejahtera kemudian akan memasukan butiran pembeli yang sudah membuat pembayaran walaupun mereka tidak menerima apa-apa suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Kamarul Zaman berkata, dua kakitangan klinik swasta berkenaan yang ditahan pada Isnin lalu, direman empat hari mulai semalam manakala seorang lagi kakitangan klinik berkenaan yang ditahan semalam, akan direman mulai hari ini.

Pembeli sijil vaksin digital palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, kerana memberi maklumat palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:43 PM