SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. FOTO ihsan istana shah alam
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. FOTO ihsan istana shah alam
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dukacita dengan kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan swasta di Selangor yang didapati menawarkan dan menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.

Baginda menzahirkan dukacita dan keprihatinan berhubung perkara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah hari ini.

"Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan terbabit berbangsa Melayu dan beragama Islam namun sanggup melakukan perkara keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.

"Baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia," demikian kenyataan itu.

Baginda juga terkejut dengan modus operandi (MO) yang digunapakai oleh individu terbabit yang sudah ditahan Polis Selangor.

"Individu terbabit seorang doktor pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam orang pembantu klinik, yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

"Menerusi siasatan awal, selain daripada memalsukan sijil vaksin Covid-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, individu itu turut memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin Covid-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan terdiri daripada golongan anti-vaksin.

"Baginda sudah meminta pihak berkuasa di Selangor supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.

"Jika didapati bersalah, mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat," demikian menurut kenyataan itu.

Tegas baginda lagi, sekiranya kegiatan sedemikian terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan anti-vaksin, bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak dua tahun lalu ini akan berakhir?

"Titah baginda, rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19, yang melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

"Baginda juga berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:36 PM