ARJUNAIDI. FOTO Arkib NSTP
ARJUNAIDI. FOTO Arkib NSTP
Faris Fuad

Kuala Lumpur: Polis menyiasat daripada pelbagai sudut berkaitan kes klinik swasta di Gombak yang disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu, termasuk sama ada doktor dan petugasnya mengambil vaksin berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tujuh individu termasuk pemilik klinik itu ditangkap minggu lalu seperti diumumkan semalam dan tiada tangkapan baharu dilaporkan setakat ini.

"Kes berkenaan sedang disiasat selepas klinik swasta itu dikesan menawarkan sijil vaksin palsu dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Setakat ini tiada tangkapan baharu. Dalam hal ini, kita akan terus menyerbu klinik didapati menjalankan kegiatan itu hasil risikan dan maklumat," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Arjunaidi dipetik berkata, suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Suspek menyasar golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dengan klinik akan mengenakan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

Pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas mendapati, terdapat 5,601 pesakit sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah didaftarkan tanpa menerima suntikan.

Pada peringkat awal, klinik beroperasi sejak tiga bulan lalu itu mengenakan bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap pelanggan.

Bagaimanapun, ia diturunkan kepada RM500 berikutan terdapat persaingan daripada klinik lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:55 PM