GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiada kecederaan luaran yang dikesan terhadap tubuh badan orang kena tuduh (OKT) yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, namun siasatan terperinci masih lagi dijalankan untuk mengetahui punca kematian OKT berusia 37 tahun itu yang meninggal pada 4.35 petang.

Katanya, setakat ini kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menunggu keputusan bedah siasat yang akan dibuat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), hari ini" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, suspek sebelum itu ditahan Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes pemilikan dadah mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sel ketika pemeriksaan rutin berkala yang dilakukan oleh polis.

"Suspek yang ditahan reman itu disangkakan tidur dan dikejutkan, namun tidak bangun menyebabkan polis menghubungi pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa yang mengesahkan suspek sudah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing suspek sebelum ini didapati positif dadah metamphetamine.

Mohd Suhaimi berharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi sehingga siasatan kes selesai.

Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap kes kematian OKT di lokap IPD Kota Bharu di Pengkalan Chepa, semalam.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 2:45 PM