GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berhubung kes kematian mengejut seorang tahanan lelaki, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu ditangkap dan ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 20 April lalu.

"Orang Kena Tahan (OKT) terbabit ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Siasatan mendapati OKT terbabit cuba menggantung diri di lokap berpusat itu pada 15 Jun dan diselamatkan serta dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan pada hari sama," katanya.

Mohd Iqbal berkata, OKT yang mula dirawat di Hospital Shah Alam pada 15 Jun itu disahkan meninggal dunia Isnin lalu.

"Pada jam 5.40 petang 20 Jun lalu, pegawai perubatan mengesahkan bahawa OKT meninggal dunia di hospital itu. Punca kematian belum diketahui.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:46 PM