Dr Hilmi (dua dari kiri) melihat replika cek yang diserahkan kepada Norsidah (kanan) sambil diperhati Dr Sukumar (dua dari kanan) dan Azmir (kiri). FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Dr Hilmi (dua dari kiri) melihat replika cek yang diserahkan kepada Norsidah (kanan) sambil diperhati Dr Sukumar (dua dari kanan) dan Azmir (kiri). FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hairie Norli


VIRUS HIV dan penyakit AIDS kini tidak lagi menjadi ancaman utama negara apabila Kementerian Kesihatan mensasarkan penurunan kes sebanyak 90 peratus menjelang tahun 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, usaha itu dicapai apabila kadar jangkitan HIV/AIDS pada 2003 hingga 2017 menunjukkan penurunan.

"Malaysia menurunkan kadar jangkitan HIV baru daripada 28 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2003 kepada 10.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk tahun ini.

"Kementerian amat berkeyakinan sasaran negara untuk mencapai 90 peratus penurunan kes HIV/AIDS ini akan tercapai.

"Justeru, kami memerlukan usaha gigih daripada semua pihak termasuk kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan golongan akademik bagi mencapai sasaran itu," katanya selepas menghadiri Mesyuarat 'Country Coordinating Mechanism' (CCM) di Balik Pulau, hari ini.

Dr Hilmi berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk melaksanakan usaha pencegahan dan rawatan bagi HIV/AIDS.

Beliau berkata kerajaan turut memperuntukkan lebih dari RM70 juta kepada NGO sejak dari 2003.

"Berdasarkan rekod pesakit HIV/AIDS, negara mempunyai 96,000 pesakit masih hidup mengikut statistik sejak 1996 dan daripada jumlah itu, hanya 40 peratus yang tampil menjalani rawatan.

"Pesakit lain tidak mahu ke depan untuk menjalani rawatan, jadi kita mahu mencari mereka melalui program turun padang untuk memberikan rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes paling tinggi mereka dijangkiti HIV/AIDS kini adalah menerusi hubungan seks berbanding suntikan jarum.

Sementara itu pada majlis berasingan, Hilmi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan laporan ujian kesihatan pesakit di Serian, Sarawak yang disyaki dijangkiti virus rabies atau anjing gila.

"Kita masih menunggu keputusan sama ada pesakit itu memang dijangkiti rabies atau tidak.

"Manakala mangsa ketiga rabies iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun masih dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) ," katanya kepada media selepas Majlis Sumbangan RM100,000 daripada UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, hari ini.

Pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Berhad, Azmir Merican menyerahkan cek bernilai RM100,000 kepada Pengarah Hospital Pulau Pinang, Datuk Norsidah Ismail.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Sukumar Mahesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 9:24 PM