Norhizan (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir sempena Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Negeri di Pusat Beli Belah Langkawi Fair, Langkawi, hari ini. Foto Hamzah Osman
Norhizan (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir sempena Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Negeri di Pusat Beli Belah Langkawi Fair, Langkawi, hari ini. Foto Hamzah Osman
Hamzah Osman


LANGKAWI muncul sebagai pulau pertama di negara ini yang menyahut hasrat kerajaan menjayakan kempen 'Malaysia Sifar AIDS' pada 2030 selepas melancarkan program 'Langkawi Menuju Ke Arah Sifar AIDS' (GLITZ) 2030, hari ini.

Majlis pelancaran GLITZ 2030 disempurnakan Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail sempena program Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Negeri di Pusat Beli Belah Langkawi Fair, di sini.

Norhizan berkata, GLITZ 2030 dilaksanakan di bawah konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan dan swasta bermatlamatkan kes AIDS mencapai sifar menjelang 2030.

"Komitmen dan kolaborasi pelbagai pihak menjayakan GLITZ 2030 amat diperlukan khususnya memastikan aktiviti pencegahan dan kawalan HIV/AIDS menjadi lebih menyeluruh dan sistematik serta menghasilkan impak yang besar.

"Objektif utama projek ini adalah mengurangkan jangkitan baharu HIV dengan menambah baik dan meningkatkan intervensi pencegahan yang komprehensif berasaskan 'evidence based' kepada sasaran baharu yang sedia ada," katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Kamariah Hussin; Pegawai Daerah Langkawi Isahak Murat dan Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Lutpiyudin Azidin.

Norhizan berkata, bagi merealisasikan hasrat itu juga sebuah jawatankuasa bertindak dibentuk membabitkan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

"Setiap agensi mempunyai peranan masing-masing, misalnya Jabatan Penerangan bertanggungjawab membuat promosi dan hebahan berkaitan aktiviti pencegahan, manakala Jabatan Pendidikan bertanggungjawab terhadap program kesedaran.

"Pelan tindakan sudah sedia untuk dilaksanakan dengan bantuan berterusan daripada Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia yang akhirnya akan mengurangkan kes AIDS di pulau ini dan seterusnya negara,”€ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, epidemik HIV/AIDS di Kedah pula walaupun kadar notifikasi HIV menunjukkan penurunan daripada 25.6 kepada 8.6 kadar notifikasi HIV per 100,000 penduduk semenjak 2002-2016, namun ia menunjukkan kadar notifikasi HIV yang agak malar sejak lima tahun kebelakangan ini iaitu pada kadar 7.4 hingga 8.6 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Rekod juga menunjukkan sebanyak 83 peratus jangkitan baharu HIV di Kedah adalah melalui transmisi seksual, berbanding 12 peratus menerusi penagihan dadah suntikan.

"Justeru, perkara ini harus menjadi tumpuan kepada jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan aktiviti GLITZ 2030 di peringkat kampung, mukim dan daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 5:58 PM