HILMI (kanan) menyampaikan replika cek kepada Dr Raj (kiri).
HILMI (kanan) menyampaikan replika cek kepada Dr Raj (kiri).

Alor Gajah: Penyakit AIDS bukan lagi ancaman utama negara menjelang 2030 apabila jumlah pesakit terbabit dapat dikurangkan sehingga 90 peratus melalui rawatan secara berterusan.

Selain rawatan berterusan, 90 peratus lagi pesakit HIV/AIDS menikmati faedah ‘viral suppression’ (penindasan virus).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata, usaha itu dicapai apabila kadar jangkitan HIV/AIDS pada 2010 hingga 2015 menunjukkan penurunan.

“Malaysia menurunkan kadar jangkitan HIV baru daripada 12.93 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2010 kepada 10.9 kes bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu.

“Angka ini melepasi sasaran kita iaitu 11.0 bagi 100,000 penduduk. Dalam kita menghadapi cabaran membanteras HIV/AIDS, kementerian amat berkeyakinan sasaran negara untuk mencapai 90 peratus mereka dijangkiti penyakit ini akan menerima rawatan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat ‘Country Coordinating Mechanism’ (CCM) di Pejabat Kesihatan Alor Gajah, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Dr Hilmi turut menyampaikan sumbangan kerajaan berjumlah RM7 juta buat Majlis AIDS Malaysia melalui Presidennya, Datuk Dr Raj Karim bagi membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan melaksanakan aktiviti sepanjang 2016.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya meminta NGO di negara ini bergabung di bawah Majlis AIDS Malaysia untuk menjalankan aktiviti yang boleh memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya penyakit terbabit.

“Kerajaan dengan kerjasama NGO meluluskan 52 projek di seluruh negara dengan kos RM7 juta untuk aktiviti sepanjang 2016 dan ia pertambahan RM410,000 berbanding 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:08 AM