Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tiada negeri dilaporkan melangkaui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap tahun kerajaan pusat menetapkan kuota hektar kepada setiap negeri untuk mengusahakan hasil balak atau dipanggil CTT.

Katanya, semua negeri perlu patuh kepada CTT walaupun hutan berada di bawah kerajaan negeri kerana dari segi pentadbiran dan pengurusannya terletak di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang mengawal setiap lesen pengeluaran.

"Saya menegaskan setakat ini tidak ada negeri yang melangkaui catuan yang ditetapkan, cuma pada masa sama kita tidak dapat menafikan ada juga pencerobohan hutan iaitu pembalakan haram.

"Saya tidak nafikan (pencerobohan hutan) ada, tetapi jabatan perhutanan sentiasa membuat pemantauan dan juga penguatkuasaan untuk mengambil tindakan kepada pembalak haram ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA yang juga legenda bola sepak negara era 90-an, Hashim Mustapha di Kampung Guchil Bayam, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan negeri boleh mengusahakan hasil di hutan pengeliaran iaitu memberi lesen untuk ditebang dan mengeluarkan kayu-kayan.

"Kita tahu pembalakan haram ini bukan hanya pokok-pokok ditebang, tetapi juga menyebabkan pencemaran alam sehingga berlaku banjir dan tidak dinafikan ada kes-kes yang sebegitu.

"Justeru, kita akan memastikan penguatkuasaan terhadap tebangan dan juga pembalakan haram ini akan dipergiatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan pusat melalui Majlis Tanah Negara (MTN) sedang merangka dasar untuk membenarkan negeri melaksanakan projek ladang hutan.

"Kerajaan negeri mungkin membenarkan syarikat membuat penanaman semula ladang hutan dan boleh tebang di satu kawasan dan tebangan ini dipanggil juga 'cuci mangkuk', tetapi syarikat itu kena tanam semula.

DATUK Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita dapati ada negeri-negeri yang sepenuhnya dapat mengawal ladang hutan di mana tanah yang diterokai ditanam semula," katanya.

Katanya, beberapa bulan lalu MTN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan untuk mengenakan moratarium kepada negeri-negeri daripada mengeluarkan lesen baru kepada syarikat untuk ladang hutan selama 15 tahun.

"Kita dapati bahawa lesen yang dikeluarkan untuk ladang hutan ini banyak yang belum dilaksanakan lagi di mana yang ditebang tidak ditanam semula menyebabkan tanah terbuka.

"Sekarang saya boleh mengesahkan bahawa tidak ada lagi lesen dikeluarkan untuk ladang hutan yang baru, bermakna tiada penerokaan hutan-hutan yang baru.

"Di samping itu, kita akan menguatkuasakan kepada kerajaan negeri supaya program ladang hutan ini dilaksanakan dengan segera di mana negara kita ini dilitupi paling kurang 50 peratus kawasan berhutan dan berpokok," katanya.

Katanya, pihaknya tidak menafikan negeri yang mempunyai hutan sememangnya ada pembalakan haram dan ia dalam pemantauan JPSM.

"Cuma saya hendak nafikan sesetengah perkara apabila berlaku banjir yang kononnya hanya disebabkan oleh pembalakan juga adalah tidak betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 3:16 PM