Seekor harimau dikesan berada di luar pagar asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Seekor harimau dikesan berada di luar pagar asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di sini, kelmarin. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Harimau belang yang berkeliaran dalam radius 10 kilometer di Pos Bihai, Gua Musang didapati positif virus Canine Distemper (CDV).

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, ia berdasarkan ujian terhadap sampel najis binatang berkenaan yang diambil di sekitar lokasi terbabit.

Katanya, berikutan jangkitan itu, harimau akan mengalami hidung berair dan kelakuannya juga berubah, tidak seperti harimau lain.

"Jangkitan virus yang dihadapi harimau belang berkenaan sama sebagaimana yang berlaku terhadap harimau yang ditangkap Perhilitan di Terengganu beberapa bulan lalu.

"Berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan pakar haiwan liar Jabatan Veterinar Terengganu ketika itu, dimaklumkan yang virus CDV akan menyebabkan haiwan berkenaan seperti bingung dan tidak dapat membezakan sifat pemangsanya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya kini sedang menggunakan pelbagai pendekatan untuk menangkap harimau terbabit termasuk memasang tiga perangkap.

"Pada masa sama, kita sedang mengkaji sama ada harimau yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli, Jumaat lalu daripada kumpulan tiga harimau yang berkeliaran atau kumpulan harimau lain yang berada di kawasan sekitar.

"Buat masa ini dipercayai kumpulan tiga harimau berkenaan masih ada dan bergerak aktif," katanya.

Susulan ancaman harimau juga katanya, penduduk Orang Asli di kampung sekitar Pos Bihai sudah berpindah ke lokasi selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:09 PM