PERHILITAN menambah perangkap susulan penemuan kesan baru harimau belang.
PERHILITAN menambah perangkap susulan penemuan kesan baru harimau belang.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Putrajaya: "Kumpulan harimau belang yang cuba dijerat sejak lebih 10 hari lalu seolah-olah mempunyai deria ancaman bahaya dan naluri kuat. Mereka bagaikan tahu perangkap serta umpan hidup dipasang kami," ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Menurutnya, usaha Perhilitan untuk menangkap harimau belang yang berkeliaran sekitar perkampungan Orang Asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan masih diteruskan sehingga semalam.

"Kami akan terus berusaha bagi memastikan harimau belang itu dapat ditangkap, dirawat dan dilepaskan di habitat jauh dari penempatan penduduk," katanya kepada Harian Metro.

Kadir berkata, berdasarkan maklumat disampaikan Perhilitan Kelantan, jumlah tiga perangkap besi yang dipasang sebelum ini sudah ditambah bilangannya kepada tujuh perangkap.

"Perangkap pertama dipasang di kampung Tendrik selain lokasi di Kampung Pahong, Kampung Bihai Lama dan Kampung Peyai di sekitar Pos Bihai.

"Pihak Perhilitan kemudian menambah tiga lagi perangkap di Kampung Balar, Kampung Manjue dan Kampung Pahong semalam," katanya.

Menurutnya, perangkap baru itu dipasang susulan penemuan kesan baru harimau di lokasi berkenaan selain bukti kehadiran harimau di kebun padi huma di Kampung Pahong.

"Sehingga kini seramai hampir 30 petugas Perhilitan masih melakukan kawalan keselamatan di sekitar kampung berkenaan.

"Pihak Perhilitan turut membuat rumah ran di atas pokok bagi tujuan kawalan keselamatan selain mengawal keselamatan penduduk yang mahu mengutip hasil tanaman," katanya.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, seorang lelaki Orang Asli, Anek Along, 59, maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Susulan itu, komuniti orang asli di kawasan itu hidup dalam ketakutan berikutan kemunculan harimau belang di belakang rumah penduduk di Kampung Bihai Lama.

Walaupun harimau yang membaham Anek Along berjaya diburu dan ditembak mati Perhilitan, penduduk tempatan mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 11 ekor harimau belang masih berkeliaran di kawasan berkenaan.

Lebih menggusarkan apabila Perhilitan mengesyaki harimau belang di kawasan itu dijangkiti Canine Distemper Virus (CDV) yang menyebabkan pemangsa itu tidak takutkan manusia dan berani menceroboh kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:01 AM