Essa Abu Yamin

Batu Pahat: "Saya sudah lali dengan kejadian banjir termenung di sini sebab hampir setiap tahun akan alami bencana begini," kata Baharim Jimon, 76, mangsa banjir di Kampung Parit Lapis Basri, Sri Medan dekat sini.

Menurutnya, kini sudah hampir seminggu berlalu namun rumahnya masih digenangi air banjir termenung pada paras 0.3 meter.

"Kampung ini menerima air limpahan daripada sungai berdekatan yang terletak hampir 500 meter dan menyebabkan kawasan rumah penduduk masih digenangi air bah.

"Pada hari pertama kejadian, air limpahan sungai mula masuk ke dalam rumah, pada waktu itu paras air melepasi paras lutut kira-kira 0.8 meter," katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

BAHARIM ketika melihat keadaan halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Parit Lapis Basri, Batu Pahat. FOTO  Essa Abu Yamin
BAHARIM ketika melihat keadaan halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Parit Lapis Basri, Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin

Baharim berkata, ketika ini keadaan saluran dan perparitan di kampung berkenaan diselenggara dengan baik, jika tidak ia berkemungkinan akan lebih buruk seperti kejadian banjir pada tahun 2007 yang mencecah hingga paras leher.

"Saya mengharapkan cuaca sentiasa baik dan tidak hujan selepas ini, jika tidak banjir termenung berkenaan akan lambat surut.

"Jika keadaan cuaca baik, dijangka dalam masa dua atau tiga hari lagi keadaan banjir termenung di sini akan pulih," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan perubahan positif apabila 1,227 orang daripada 351 keluarga kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:08 PM