Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Fenomena air pasang besar yang berlaku menyebabkan beberapa penduduk di Kampung Sungai Kluang, Rengit, di sini, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kilat, semalam.

Penduduk, Azri Adam, 41, berkata dalam kejadian 9.30 pagi, air pasang besar kali ini agak teruk dan cepat masuk ke dalam rumah berikutan kediamannya terletak kira-kira 300 meter dari tebing sungai.

"Saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan dan peralatan elektrik dalam rumah kerana bertindak keluar untuk menyelamatkan diri.

"Air masuk ke dalam rumah dengan begitu deras dan kami tidak sempat berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, dia sekeluarga sudah hampir 24 tahun tinggal di kawasan berkenaan dan ia adalah kejadian banjir paling teruk pernah dialami mereka.

"Rumah saya berada di kawasan agak rendah. Walaupun air pasang besar sudah mulai surut hari ini, kawasan rumah saya masih ditenggelami air.

"Apa yang membimbangkan adalah air banjir berkenaan akan terus bertakung dan berkemungkinan memakan masa seminggu untuk kembali surut dan pulih," katanya.

AZRI dan keluarganya ketika pulang melihat keadaan rumahnya yang dilanda banjir kilat di Kampung Sungai Kluang Rengit. FOTO Essa Abu Yamin
AZRI dan keluarganya ketika pulang melihat keadaan rumahnya yang dilanda banjir kilat di Kampung Sungai Kluang Rengit. FOTO Essa Abu Yamin

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Leftenan Muda Suhairi Mat Ali berkata, sebuah PPS dibuka bagi menempatkan seramai 25 penduduk membabitkan empat keluarga.

Menurutnya, ini berikutan rumah mereka dilanda banjir kilat akibat fenomena air pasang besar, semalam.

"Semua mangsa banjir ditempatkan di PPS Pusat Latihan Pemimpin Muda (Pulapem) yang dibuka pada 9 malam tadi.

"Air pasang besar melebihi 3.3 meter melimpah di Kampung Sungai Kluang Laut yang mengakibatkan beberapa rumah dinaiki air," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Punggur Laut Timur, Rengit hari ini, mendapati air pasang besar kembali melanda di kawasan terbabit bermula 10 pagi.

Tinjauan turut mendapati air deras mula memasuki ke halaman rumah penduduk dengan ketinggian hampir 0.5 meter sebelum kembali surut pada 12.30 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 3:58 PM