Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Lima sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka di Persimpangan Lampu Isyarat Parit Raja, 13 Mei lalu.

Muhammad Hafizulhimi Zailan, 23, Muhamad Farrhan Mohd Basri, 22, Mohammad Faizul Naim Ahmad, 23, Muhamad Al Azim Abd Rasid, 19 dan Nur Muhamad Afif Norazam, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syafiq Mustaza.

Semua mereka didakwa melakukan aktiviti terlarang dengan menyertai perhimpunan tanpa memakai pelitup muka dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan lampu isyarat Parit Raja, Batu Pahat pada 13 Mei lalu, jam 2 pagi.

Terdahulu, dalam prosiding yang dijalankan secara berasingan, Timbalan Pendakwa Raya, Hayatulwirdah Mohd Yunos memohon OKS dikenakan jaminan RM6,000 setiap seorang.

Kelima-lima OKS ketika tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat, dekat sini. FOTO Essa Abu Yamin
Kelima-lima OKS ketika tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat, dekat sini. FOTO Essa Abu Yamin

Bagaimanapun, peguam Mohd Fared Mohd Khalid yang mewakili semua OKS memohon mahkamah untuk mempertimbangkan semula jumlah berkenaan berikutan tiga daripada mereka masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan dua lagi kini hilang pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Mohd Fared juga memohon mahkamah mengambil kira rekod tiada kesalahan lampau oleh kelima-lima OKS itu.

Majistret Mohd Syafiq Mustaza membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sekumpulan individu berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kejadian tunjuk perasaan di Parit Raja, Batu Pahat, Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 11:56 AM