Siti Rohana Idris


Tumpat: Jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru kembali meriah dengan dengan pengangkutan bot atau sampan apabila sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bermula hari ini.

Walaupun ada murid kelihatan mengantuk namun ramai bersemangat sebaik turun dari bot yang dikemudi ibu bapa masing-masing yang tiba di jeti sekolah seawal 6.45 pagi.

Bagi Mohamad Zulfadhli Mohd Zakri, 11, hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu memandangkan kerap bertanyakan ibunya, Azizah Wahi@Awang, 45, bila akan kembali bersekolah dan teruja menjejakkan kaki ke jeti sekolah sebaik turun dari bot yang dipandu bapanya.

Azizah berkata, tidak mempedulikan kasut yang sudah ketat, anak bongsu tiga beradik itu bangkit awal dari tidur pagi tadi dan terus bersiap tanpa perlu disuruh sebelum menyusuri Sungai Kelantan kira-kira 20 minit dari rumah mereka di Kampung Pulau Che Soh.

"Kami tidak perasan bahawa kasut sekolahnya sedikit ketat kerana rasa terujanya untuk kembali ke sekolah lebih ditunjukkan namun kami akan keluar ke tanah besar beberapa hari lagi untuk membeli kasut sekolah baharu.

"Sudah kerap kali dia bertanyakan bila akan kembali bersekolah dan mengakui rindu untuk belajar dan berada bersama rakan dalam kelas dan hari ini perasaan rindu itu terlerai," katanya ketika ditemui di jeti sekolah di sini, hari ini.

Keterujaan yang sama ditunjukkan dua beradik dari Kampung Teluk Renjuna, Mohamad Aniq Arsyad Mohd Rizal, 6 dan abangnya, Mohamad Afiq Amsyar, 10 yang datang ke sekolah dengan membonceng motosikal ditunggang ibu mereka, Nor Halilah Mohd Yusof, 31.

Nor Halilah berkata, walau sedikit gusar dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir sepenuhnya, keterujaan dua anaknya itu sudah melegakannya memandangkan dapat kembali bersekolah.

"Walau si adik agak mengantuk tapi sebaik tiba di pintu pagar sekolah, mereka kembali bersemangat apabila melihat ramai kawan selepas lama tidak bersua.

"Rasa bimbang tetap ada namun saya yakin pihak sekolah sudah membuat persediaan rapi untuk persekolahan ini," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pulau Beluru,Mohd Azman Hussain berkata, persediaan sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu lagi sebaik pembukaan persekolahan untuk murid prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Katanya lagi jika ada perubahan sekalipun, sedikit penambahbaikan dibuat kerana pembukaan sekolah kali ini membabitkan semua 316 murid sekolah itu.

"Selain masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) asas iaitu pemakaian pelitup muka dan pemeriksaan suhu sebelum masuk ke kawasan sekolah, semua guru turut membuat persiapan tersendiri untuk menyambut kedatangan murid hari ini," katanya.

GURU BESAR SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussain (berdiri, lima kiri) menyambut ketibaan murid  di jeti SK Pulau Beluru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GURU BESAR SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussain (berdiri, lima kiri) menyambut ketibaan murid di jeti SK Pulau Beluru. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 11:08 AM