Siti Rohana Idris


Tumpat: Rutin sebahagian besar penduduk Kampung Teluk Renjuna yang menaiki bot ke jeti Kok Majid untuk mengambil bekalan air bersih melalui tangki disediakan, terhenti disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan sejak Sabtu lalu.

Masalah bekalan air dihadapi 764 penduduk di kampung terletak di delta Sungai Kelantan itu dihadapi sejak sekian lama dan ada penduduk membina telaga tiub manakala selebihnya mengangkut daripada tangki disediakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Sebagai penyelesaian, penduduk yang tidak dapat ke jeti Kok Majid disebabkan sekatan PKPD berulang-alik ke rumah penghulu kampung terbabit yang membina telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Warga emas, Mohd Zaid Sulaiman, 63, berkata biasanya dia akan mengemudi bot miliknya ke jeti Kok Majid setiap hari sambil membawa beberapa tong untuk mengisi air bagi kegunaan dia dan lima ahli keluarga lain.

"Sehari sebelum PKPD, saya meminta anak yang menetap di tanah besar agar menghantar sedozen air mineral untuk kegunaan kami selain masih lagi boleh ke jeti Kok Majid untuk mengangkut air daripada tangki.

"Sebaik pelaksanaan PKPD, kami berjimat menggunakan air bersih dan berulang-alik ke rumah penghulu dengan menunggang motosikal untuk menadah air dari paip di rumahnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Teluk Renjuna, di sini, semalam.

Mohd Zaid berkata, untuk urusan mandi dan membasuh, penduduk kampung itu menggunakan air sungai.

Sementara itu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah ketika dihubungi berkata, masalah penduduk yang tidak dapat berulang-alik ke jeti Kok Majid diselesaikan secara sementara iaitu mengangkut air daripada paip di rumah penghulu.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta AKSB menambahkan kelajuan tekanan air bagi menampung keperluan 214 keluarga di kampung itu.

"Bagaimanapun kami dimaklumkan cadangan itu boleh dijalankan sesekali memandangkan tindakan menambahkan tekanan air menerusi tangki di Kampung Laut boleh menjejaskan saluran ke pengguna sekitar," katanya.

PKPD Mukim Sungai Pinang yang membabitkan empat kampung iaitu Kampung Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri bermula pada 22 Mei lalu sehingga 4 Jun ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Pulau Beluru, Rokiah Salleh, 45, berkata sejak pelaksanaan PKPD, segala keperluan makanan mereka mencukupi dan setakat ini tiada masalah walaupun terpaksa berkurung dalam rumah.

SEBAHAGIAN penduduk membabitkan empat kampung terpaksa berulang alik di jeti Kok Majib mengambil barang keperluan harian sempena pelaksanaan PKPD sehingga 4 Jun ini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penduduk membabitkan empat kampung terpaksa berulang alik di jeti Kok Majib mengambil barang keperluan harian sempena pelaksanaan PKPD sehingga 4 Jun ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Saya tinggal bersama tiga anak dan bekerja sebagai pembantu kantin sekolah, tapi sudah lama tidak dapat bekerja menyebabkan bekalan diterima ini digunakan dengan jimat.

"Ibu saya tinggal berseorangan tidak jauh dari rumah dan setiap hari anak akan menghantar makanan siap dimasak kepadanya memandangkan ibu sudah tua dan uzur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 2:39 PM